Monday, July 20, 2009

Budaya Melayu Yang Sebenar..

Saudara saudari yang dihormati, apabila kita menyebut tentang kebudayaan sesuatu bangsa, secara automatik akan terlintas di fikiran kita kepercayaan tradisional, unsur – unsur seni dan nilai – nilai estetika sesuatu bangsa itu seperti tarian tradisional, pakaian tradisional dan sebagainya. Umumnya, budaya sesuatu bangsa dinilai dan diamati pada zahirnya. Hal ini benar bagi kebanyakan bangsa di dunia tetapi bukan bangsa Melayu Malaysia.


Dalam sejarah kebudayaan masyarakat Kepulauan Melayu, pra kedatangan Islam, secara umumnya, orang Melayu beragama Hindu atau Buddha. Namun begitu, ajaran luhur kedua-dua agama ini hanya terbatas kepada istana dan golongan bangsawan. Rakyat jelata hanya didedahkan kepada nilai – nilai seni atau estatika agama tersebut. Falsafah agama itu tidak didedahkan kepada rakyat jelata kerana golongan bangsawan dan istana mahu mengongkong dan melemahkan fikiran rakyat agar rakyat patuh dan tidak membantah dan menggugat kedudukan mereka. Mereka dihidangkan dengan fantasi cerita dongengan dewa dewi yang langsung tidak mempunyai unsur logik dan rational yang dapat mengembangkan pemikiran masyarakat. Ketika masyarakat sedang asyik dengan fantasi dan dongengan dewa dewi, pihak istana dan bangsawan meyakinkan masyarakat yang pada ketika itu mempunyai pemikiran yang terkongkong, bahawa raja adalah jelmaan dewa dewi di dunia. Ini dilakukan demi menanamkan kesetiaan, pengabdian dan ketaksuban masyarakat terhadap raja dan pembesar. Hasilnya raja yang disangkakan jelmaan dewa dewi di dunia yang dipuja saban hari, mendapat kuasa mutlak dan boleh bertindak sesuka hati terhadap masyarakat.



Apabila Islam tiba di Kepulauan Melayu, berlakulah satu revolusi pemikiran dan pandangan hidup masyarakat Melayu. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW mengajak manusia kearah membebas aqal daripada tunduk kepada mana mana kuasa melainkan Allah. Tiada perantaraan atau agen antara manusia beraqal dengan Tuhan. Ini sekaligus membebaskan pemikiran orang Melayu daripada cerita cerita dongeng, kepercayaan tahyul dan ketaksuban terhadap istana dan pembesar. Nilai nilai intelektual, falsafah dan pemikiran yang rasional, logik dan saintifik terpahat di dalam masyarakat melalui kelas kelas pengajian dan hasil sastera cendekiawan dan cerdik pandai muslim dari Yemen dan dari kalangan orang Melayu sendiri. Lantaran itu, berlakulah perubahan ketara terhadap kebudayaan orang melayu secara amnya, daripada berkiblatkan nilai nilai estetika dan fantasi dewa dewi, kepada kebudayaan yang berteraskan nilai nilai intelektual, keadilan dan kesaksamaan, keharmonian dan kasih sayang sesama insan. Kebudayaan inilah yang membawa masyarakat melayu menuju zaman kegemilangan yang termaktub dalam sejarah sebagai zaman kegemilangan kesultanan melayu melaka.


Saudara saudari yang dihormati sekalian, kegemilangan masyarakat Melayu hancur setelah kita dijajah Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris. Namun dengan rahmat Allah kepada bangsa Melayu di negara ini, orang melayu masih kekal beragama islam. Dengan Rahmat Allah jualah revolusi pemikiran masyakarat Melayu berlaku sekali lagi pada zaman sebelum kemerdekaan dengan pengaruh pemikiran tokoh tokoh pergerakan Islam di Mesir seperti Jamaluddin Al Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan sebagainya. Pemikiran mereka telah berjaya diterapkan kepada masyarakat Melayu melalui Ulama’ seperti Sheikh Tahir Jalaluddin dan yang seangkatan dengannya. Dengan usaha dan titik peluh merekalah , penjajahan terhadap orang Melayu berjaya ditamatkan dan jadilah kita, bangsa yang merdeka.



Ingin saya ketengahkan di sini dua perkara penting. Pertama, Islam telah memerdekakan pemikiran orang melayu daripada tunduk kepada kepada sebarang bentuk penguasaan selain penguasaan Allah yang Maha Kuasa, baik dari segi fizikal mahupun mental. Tanpa Islam, orang melayu akan menjadi bangsa yang bodoh, mundur dan mudah tertipu kerana tiada nilai nilai intelektual dan rational. Kedua, tanpa Islam, bangsa Melayu tidak akan mendapat kemerdekaan, maka jadilah kita bangsa yang hina, terkongkong dan lemah.


Oleh itu saudara saudari sekalian, budaya atau cara hidup dan cara berfikir orang Melayu yang sebenar adalah Islam. Apa yang kini biasa kita faham sebagai budaya seperti tarian tarian dan aktiviti kesenian lain tidak harus dijadikan perkara utama didalam peradaban bangsa Melayu tetapi kita jadikan kesenian dan nilai nilai estetika ini sebagai wasilah atau medium untuk kita menyampaikan ajaran ajaran Islam kepada masyarakat dan juga untuk menarik perhatian masyarakat kepada nilai nilai Islam dan aktiviti aktiviti intelektual agar kita dapat memajukan bangsa Melayu dan seterusnya negara kita, Malaysia.